Home > Fikrah > Ilmu dan Fikrah

Ilmu dan Fikrah

Bismillahirrahmaanirrahim..

Moga-moga Allah meredhai diri kita, dalam kesibukan menempuh hari-hari sebagai hambanya..

Ketahuilah bahawa taklifan-taklifan di dunia realiti itu semakin hari semakin memberat, peningkatan umur kita sejajar dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang terpaksa dibawa bersama. Tidak perlu diminta, tanggungjawab itu akan datang dengan sendirinya…kerna itulah tugas kita sebagai khalifah di dunia. ‘terpulang’ kepada kita sama ada ingin melaksanakannya atau tidak, tapi ingat, semua ini akan disoal Allah kelak.

– manusia itu dicipta dengan tanggungjawab ,awas sekiranya anda rasa terlalu selesa tanpa tanggungjawab –

“apakah kamu mengira bahawa kami menciptakan kamu sia-sia(tanpa tujuan)? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” – Al Mukminun : 115

~**.**~

Untuk kali ini, ana ingin kongsikan hasil penulisan seorang insan yang ana kenali hebat dalam arena dakwah, merantau ke pelbagai negara, berusaha untuk memasak (pasak) kefahaman dalam setiap jiwa-jiwa muda yang ‘obses’ untuk melihat  Islam kembali mendapat haqnya..

dan perkongsian kali ini, ana tujukan buat diri ana dan sahabat-sahabat yang sedang berlumba-lumba, ghairah mencari Ilmu.

~**.**~

Untuk memberi kefahaman kepada kita tentang fikrah dan ilmu, maka pertama sekali tulisan kali ini akan cuba mengetengahkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku untuk menunjukan peri pentingnya fikrah dalam berilmu. Seterusnya tulisan ini akan cuba mengupas sedikit tentang fikrah dan ilmu itu sendiri.

Allah swt berfirman di dalam al-Quran

اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتى ورضيت لكم الإسلام دينا

Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu” (QS. Al-Maidah: 3).

Potongan ayat di atas membuktikan bahawa Allah swt telah menyempurnakan agama ini. Agama ini telah sempurna dan tidak wajar bagi kita untuk masih berasa ragu-ragu dengan kesempurnaanya. Tidaklah logik juga bagi kita yang tahu dan faham bahawa agama ini boleh ditokok tambah dan dikurangkan supaya ianya sesuai dengan kehidupan kita.

Oleh yang demikian, harus kita fahami, bahawa ad-Din Islam ini tidak hanya terhad pada ibadat solat, puasa, membayar zakat dan mengerjakan haji. Tetapi, cara hidup yang diredai Allah swt ini merangkumi seluruh aspek kehidupan kita hatta ketika kita tidur. Oleh itu, cara kita menuntut ilmu dan fikrah juga sebenarnya perlu mengikut cara yang telah Islam ajarkan.

Tajuk yang akan dikupas sebentar lagi adalah berdasarkan sebuah buku yang ditulis oleh as-Syahid Imam Hasan al-Banna yang bertajuk Antara Semalam Dan Hari Ini. Terlebih dahulu, eloklah dijelaskan sedikit perihal penulis buku tersebut. Beliau  dilahirkan pada tahun 1906, di Mesir. Berdasarkan tahun kelahiran  beliau, jelaslah bahawa beliau telah dilahirkan pada abad ke-20. Apakah kaitan abad kelahiran tokoh ini dengan tajuk yang bakal kita bincangkan? Kepentingan : peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam abad ini penting untuk difahami untuk memahami tajuk yang kita sedang bincangkan.

Abad ke-20 iaitu tempoh masa antara tahun 1900-2000 menyaksikan pelbagai perubahan yang dinamik terhadap peta dunia. Pada abad inilah negara  Malaysia sebuah negara islam dijajah dan dibahagi-bahagikan di antara para penjajah. Lebih perit lagi, bukan setakat negara Malaysia telah dijajah, bahkan seluruh dunia Islam daripada negara Islam paling timur di atas glob dunia (Indonesia) sehingga negara islam paling barat (Maghribi/ Morocco) telah dijajah oleh kolonis-kolonis Barat. Namun penjajahan yang dilakukan oleh penjajah-penjajah barat ini tidak menggunakan perkataan penjajah dalam kempen mereka merobek tanah-tanah Islam. Mereka telah bertopeng di sebalik kemuliaan perkataan isti’mar (dari perkataan ain, mim, ra) yang bermaksud pemakmuran. Ketibaan mereka ke negara-negara Islam seolah-olah untuk memakmurkan tanah yang mereka pijak. Sedangkan realitinya adalah berbeza. Mereka datang untuk menjahanamkan negara Islam tersebut.

Selepas memasuki tanah orang-orang islam, membunuh pejuang-pejuang yang menghalang misi mereka dan menyuntik unsur-unsur barat dalam negara yang mereka cemari, lalu mereka memberikan kemerdekaan kepada tanah tersebut.  Maka tanah Islam yang sebelum ini mengambil hukum-hukum Islam sebagai dasar utama negara  mula berkiblatkan sekularisma barat dalam segala hal. Inilah perkara yang paling hitam sekali berlaku ke atas negara-negara Islam : membelakangkan cara Islam, sebaliknya menadah ke barat untuk mencari penyelesaian. Tamsilannya, ketika British mula menjajah Tanah Melayu mereka telah berjumpa dengan raja di dalam negeri-negeri tertentu pada zaman itu. Atas nama untuk memakmurkan negeri itu, maka terlantiklah para penjajah sebagai penasihat untuk raja di kawasan itu. Lalu, sedikit demi sedikit dasar-dasar Islam yang diguna pakai di dalam negeri itu ditukar dengan kaedah sekularisma. Mubaligh-mubaligh mereka bebas bergerak di dalam daulah Islam. Tanpa sebarang tentangan. Yang cuba menentang dikira sebagai penderhaka dan dihukum. Sedangkan jika difikir dengan akal yang sihat apakah salahnya kita mempertahankan negara kita dari penjajahan? Langsung tidak bersalah. Lihat betapa berjayanya barat memperkotak-katikkan hakikat sebenar kehidupan kita.

Itu contoh peristiwa yang hampir dengan kita. Beralih kepada negara jiran kita, Indonesia. Peristiwa penjajahan Indonesia oleh bangsa Belanda. Jika difikirkan semula, negara belanda adalah jauh lebih kecil berbanding Indonesia. Hari ini, populasi penduduk Belanda adalah terlalu kecil berbanding Indonesia sehingga jika difikirkan semula, kisah penjajahan bangsa Belanda ke atas Indonesia pada satu ketika dahulu adalah amat mustahil. Namun hakikatnya penjajahan Belanda keatas Indonesia telah berlaku. Belanda telah memasuki Indonesia dan menjajah negara itu selama beratus-ratus tahun lamanya. Tanpa sebarang tentangan yang hebat, untuk membebaskan tanah air dari penjajah kafir. Sedangkan Indonesia adalah negara Islam yang besar dan salah satu jajahannya iaitu Aceh pernah digelar serambi Mekah, dan Islam menyeru kita untuk mempertahankan tanah air. Mengapa tidak wujud satu gerakan untuk membebaskan tanah Islam dari penjajahan di Indonesia?

Seterusnya kita ambil contoh yang lebih global. Iaitu negara-negara arab. Negara arab adalah satu negara yang sangat besar, dengan komuniti penduduk yang ramai dan simpanan bahan mentah yang banyak seperti minyak. Dengan mengambil kira faktor sumber manusia dan sumber alam tadi, maka negara-negara arab ini semestinya kuat dan mampu untuk menentang penjajahan yang berlaku keatas negara-negara mereka. Namun, peliknya hal yang berbeza berlaku. Dengan penduduk yang ramai dan kekayaan yang melimpah ruah, mereka seolah-olah tidak peduli dengan kewujudan negara haram Israel di tengah-tengah negara-negara arab. Sedangkan negara haram Israel adalah sangat kecil jika dibandingkan denga negara-negara arab yang besar. Penduduk Yahudi Israel juga adalah sangat sedikit berbanding penduduk bangsa arab di sekeliling mereka. Kebaculan negara arab ini semakin terserlah ketika mereka sanggup memetrai perjanjian damai dengan Israel. Seolah-olah redha dengan perbuatan mereka membinatangkan dan menjahanamkan saudara seagama dan sebangsa mereka di palestin.

Setelah menyenaraikan lambakan masalah sebentar tadi. Satu soalan terlintas iaitu, apakah masalah yang sebenarnya melanda umat islam pada abad ke-20 sehingga mereka seolah-olah dipandang lemah oleh musuh-musuh Islam? Apa-apa pun masalah umat Islam pada abad ke-20, yang pastinya ia telah merebak keseluruh pelosok tanah-tanah Islam. Natijahnya, musuh yang busuk dilayan seperti teman baik yang memakai wangi-wangian kasturi. Tidak ditentang penyebaran dakyahnya yang sesat. Malah dialu-alukan.

Hakikat kewujudan masalah besar ini tidak difahami oleh segenap orang Islam pada zaman kelahiran as-Syahid Imam Hassan al-Banna. Masalah tersebut adalah MENUNTUT HANYA ILMU DAN MENINGGALKAN FIKRAHNYA.

Tamsilannya mudah,

seperti  seorang penyelam yang mencari permata. Penyelam tersebut hanya mengambil kulit tiram tersebut dan meninggalkan permata. Begitulah gambaran ringkas mengenai ilmu(kerang tiram) dan fikrah(permata) yang sepatutnya boleh didapati pada masa yang sama kerana permata berada di dalam kerang tiram.

Pada abad ke-20 umat islam menjadi penyelam yang mencari permata yang mengambil hanya kulit tiram dan meninggalkan permata. Atau dengan kata lain, umat islam disibukkan untuk hanya menuntut ilmu sehingga terlupa pentingnya fikrah itu supaya ilmu yang dituntut bukan sekadar tahu. Kerana fikrah itu akan menerbitkan rasa di dalam hati seterusnya mempengaruhi perbuatan seseorang individu. Pendek kata, kita punya ilmu yang banyak, tetapi kita tidak berupaya mengekstrak fikrah dari ilmu tersebut.

Di Tanah Melayu, saentero dunia mengetahui lambakan kewujudan pusat-pusat pengajian Islam yang hebat seperti pondok, sekolah agama, dan madrasah yang mampu melahirkan graduan-graduan yang hebat. Sehingga dihikayatkan bahawa Kelantan telah dinisbahkan sebagai negeri serambi Mekah. Namun apa yang berlaku ketika kolonial British memulakan kempen penjajahan di negeri serambi Mekah itu? Tidak ada dalam lipatan sejarah menceritakan bahawa Kelantan telah merekruit sekumpulan pejuang jihad untuk mempertahankan daulah islam bergelar serambi Mekah itu dari dikuasai penjajah. Kewujudan lebih daripada 100 buah pondok pengajian islam di Kelantan pada waktu itu tidak langsung menjana momentum untuk menentang penjajahan British. Sedangkan Islam menyeru kita untuk menentang penjajah yang menceroboh negara Islam. Padahal jika difikir secara logik, sekiranya wujud 10 orang pejuang dari setiap pondok pengajian Islam di Kelantan, maka pastinya terdapat lebih kurang 1000 orang tentera Islam akan berjihad mempertahankan serambi mekah dari penaklukan penjajah. Malang sekali buat kita, perkara seperti ini tidak pernah dirakamkan dalam lipatan sejarah. Yang ada hanyalah Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya yang sedikit cuma. Jadi di manakah silapnya umat islam pada waktu itu? Pusat-pusat ilmu yang mantap telah wujud sejak sekian lamanya di Tanah Melayu. Namun adakah ilmu yang dipelajari sejak sekian lama itu tidak mengajar kita untuk mempertahankan negara islam? Ilmu yang dipelajari tetap mengajar kita kewajipan mempertahankan tanah air.

Al-Quran dengan jelas menyeru orang-orang Islam untuk menyiapkan segala kelengkapan perang untuk mempertahankan daulah mereka. Tetapi, ilmu semata-mata tanpa fikrah tidak akan menghasilkan daya untuk menentang penjajahan tersebut. Itulah masalah umat pada masa itu. Mengambil ilmu tanpa memahami fikrah.

Allah berfirman di dalam al-quran yang bermaksud

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Surah Al-Baqarah, ayat 190)

Terjemahan ayat di atas jelas menunjukkan perintah Allah untuk memerangi musuh-musuh islam yang datang menceroboh sempadan-sempadan islam.

Lagi contoh jelas tentang betapa umat abad ke-20 telah mementingkan ilmu melebihi fikrah daripada ilmu tersebut ialah cara berpakaian masyarakat islam di Malaysia pada zaman 60an. Wanita-wanita islam tidak menutup aurat dengan sempurna. Buktinya, lihatlah filem hitam putih zaman P.Ramlee. Pelakon-pelakon wanita melayu yang islam tidak menutup aurat. Dikisahkan juga para ustazah pada zaman ini juga masih memakai tudung yang menampakkan rambut hadapan mereka.

Oleh yang demikian, kesimpulan yang boleh kita buat ialah : terdapat kekurangan dalam pembelajaran ilmu agama pada waktu itu. Kaedah pembelajaran ilmu-ilmu agama tidak lebih dari buku-buku dan peperiksaan. Niat menuntut ilmu itu sudah dikaburi dengan matlamat-matlamat lain. Ilmu itu wujud, tetapi fikrahnya tidak dapat diserap ke dalam hati, lalu pembiasan melalui perwatakan dalam kehidupan seharian adalah mustahil.

Contoh huraian di atas sebenarnya meliputi dua perkara.

  1. Jihad menentang penjajah. Disebutkan dalam kitab-kitab fikah : mana-mana  orang kafir yang datang ke negeri islam untuk menjajah negeri-negeri islam, maka wajiblah bagi orang islam utk menentangnya. Malah ditegaskan bahawa segenap lapisan umat islam yang bernaung di dalam negara islam termasuklah kanak-kanak, wanita, pemuda dan orang tua perlu turut serta mempertahankan negara islam. Negara Mesir pada waktu itu mempunyai pusat pengajian islam yang terunggul iaitu Universiti Al-Azhar. Pusat pengajian ini bukan sahaja hebat di dalam dunia islam bahkan merupakan universiti tertua di dunia. Lebih tua daripada Universiti Oxford di Britain. Tapi peliknya universiti yang mampu melahirkan syeikh-syeikh besar dalam dunia islam ini pun tidak menunjukkan perjuangan mereka untuk menentang penjajahan british pada 1974.

Oleh itu, apa sebenarnya masalah orang islam sehingga mereka tidak memberi momentum balas untuk menentang penjajahan ke atas tanah mereka? Tidak lain dan tidak bukan, fikrah(mindset) mereka pada waktu itu tidak betul. Ilmu-ilmu hebat yang dipelajari tidak dapat diterjemah dalam bentuk fikrah yang sewajarnya lalu melahirkan umat Islam yang lemah.

  1. Penutupan aurat yang tidak sempurna. Pada waktu itu, kitab-kitab hukum-hakam agama telah wujud untuk mengajar umat islam tentang hakikat penutupan aurat yang sempurna. Akan tetapi, umat islam pada masa itu tidak menutup aurat dengan sempurna. Sekali lagi kecuaian berlaku dari sudut pengambilan fikrah daripada ilmu tersebut. Bolehlah disimpulkan di sini bahawa kewujudan kitab-kitab ilmu yang berjuta-juta banyaknya menunjukkan umat islam mempunyai ilmu tersebut, tetapi mereka gagal menggali fikrah daripada ilmu itu sendiri.

Maka, perlulah kita memahami dua perkara dalam usaha mengelak untuk mengulangi kesilapan umat islam yang terdahulu. Sebenarnya terdapat dua bahagian yang perlu kita fahami konsepnya. Yang pertama adalah ilmu dan yang keduanya fikrah (mindset).

Ilmu : tahu, sekadar tahu. Cuba imbas kembali beberapa tahun lepas ketika kita menduduki peperiksaan SPM, tanyakan kembali sekiranya kita masih ingat bilakah tarikh pertama british memasuki tanah melayu? Sebahagian besar dari kita tentu tidak dapat menjawabnya. Betapa matlamat kita ketika itu adalah semata-mata mengejar A di dalam subjek-subjek tertentu. Seumpama kapas yang kering yang dilontarkan keatas tanah yang gersang, adakah kapas tersebut dipengaruhi oleh tanah akhirnya? Sudah tentu tidak. Kapas tersebut akan kekal putih seperti sebelumnya. Begitulah juga sekiranya kita hanya sekadar ilmu. Hanya sekadar tahu. Mustahil hanya dengan tahu semata-mata memberikan perubahan positif kepada seseorang individu. Oleh itu, ilmu perlu digandingkan dengan sesuatu yang boleh memaksimumkan penghayatan terhadapnya. Apakah sebenarnya sinergi yang diperlukan oleh ilmu?

Disinilah pentingnya fikrah dalam berilmu. Fikrah seolah-olah air yang akan membantu untuk membasahkan kapas tadi, supaya apabila jatuh ke atas tanah yang gersang maka akan membasahkan tanah di samping memberikan perubahan kepada sang kapas. Namun perkara ini amat sukar untuk digapai. Peranan imam hasan albanna wujud ketika beliau cuba untuk menegaskan semula penghayatan fikrah yang sepatutnya mendampingi ilmu.

Sebelum kita berbicara tentang fikrah, adalah lebih baik sekiranya saya kupas terlebih dahulu peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku dalam lipatan sejarah yang insyAllah boleh memberikan sedikit gambaran tentang peri pentingnya fikrah dalam berilmu.

Pertama sekali ketika kewafatan Nabi Muhamad  saw,sayidina  Abu Bakar ra telah meninggalkan jenazah nabi untuk ke ke balai Bani Saiedah bersama sayidina Umar al-Khattab ra untuk melantik khalifah bagi mengetuai umat islam menggantikan Nabi Muhamad saw. Setelah khalifah dilantik barulah jenazah baginda Rasulullah saw di uruskan. Jadi apakah sebenarnya fikrah yang ingin disampaikan daripada kisah tersebut? Sesungguhnya kisah tersebut ingin menjelaskan kepada umat islam bahawa sesungguhnya betapa ketua umat islam adalah sesuatu yang amat penting sehingga melebihi kepentingan menguruskan jenazah. Hatta jenazah seorang nabi. Maka itu, ulama pernah merakamkan kata-kata  tidak boleh bagi ummat islam ini untuk tidak mempunyai khalifah walaupun untuk satu hari sahaja.

Peristiwa kedua yang ingin saya ketengahkan ialah peristiwa hitam yang belaku pada tahun 1924. Keruntuhan empayar Khalifah Uthmaniyah di Turki. Pemadaman ketua umat Islam dari muka bumi telah berlaku dengan rasminya. Sistem khalifah Islam telah dihilangkan. Umat islam  telah kehilangan khalifah mereka. Bukan untuk sehari dua. Tetapi untuk 83 tahun pada tahun ini. Namun, peristiwa ini langsung tidak disedari oleh umat Islam pada ketika itu. Mungkin juga peristiwa hitam ini turut tidak kita ketahui sehingga kita membaca perkataan-perkataan ini. Persoalannya disini, mengapakah umat Islam pada waktu itu langsung tidak mengambil peduli tentang naik turunnya khalifah yang memimpin Islam secara global? Jawapannya hanya satu : kerana umat Islam pada masa itu telah disibukkan dengan perkara-perkara yang lain. Kesibukan-kesibukan itu seolah-olah bius yang menghalang mereka daripada merasa pilu tentang musibah paling besar dalam sejarah yang pernah melanda umat islam. Ya, lebih besar dari musibah tsunami yang melanda Acheh dan kawasan sekitarnya pada tahun 2004. Parahnya keadaan ummat pada masa itu, sehingga dikisahkan ulama-ulama besar dari Al-Azhar pun tidak mampu memahami musibah kehilangan amirul mukminin yang menjadi ketua umat Islam. Lalu, apakah masalah kita yang sebenarnya? Masalah kita yang sebenarnya adalah kita mempunyai ilmu sahaja, tetapi ilmu itu tidak dicernakan menjadi fikrah.

Untuk lebih jelas lagi saya bawakan satu analogi mudah tentang bijih timah. Bijih timah adalah antara faktor kedatangan British ke negara kita. Timah adalah bahan mentah yang penting dalam sektor perindustrian. Sebelum dilombong, timah tidak boleh dimanfatkan oleh manusia. Setelah dilombong, timah akan di diproses dan seterusnya digunakan untuk membina apa-apa sahaja termasuklah kapal terbang dan roket. Begitulah juga ilmu dan fikrah. Ilmu adalah bahan mentah yang dilombong, dan perlu diproses untuk menghasilkan fikrah. Akhirnya, fikrah inilah yang boleh memacu kita untuk melakukan perkara2 yang hebat, sekalipun terbang ke langit.

Ilmu tidak perlu banyak. Kerana walaupun kita ada ilmu seberat 1 tan tanpa fikrah yang mantap, ilmu tadi tidak akan membekas dalam hati kita. Surah Al Ikhlas yang pendek itu boleh ditafsirkan menjadi beratus-ratus muka surat oleh para mufassir. Namun sekiranya kita gagal mengambil fikrah yang wujud dalam surah tersebut, maka sia-sialah tafsiran yang beratus-ratus muka surat tersebut.

Ilmu adalah terlalu banyak. Bayangkan kitab-kitab tafsir yang lebih tebal daripada al-Quran yang ditafsirkan. Kitab-kitab tafsir berjilid-jilid banyaknya, sedangkan al-Quran hanya ada satu naskhah sahaja. Pernakah kita terfikir, bagaimana dari sebuah kitab al-Quran yang kadang-kadang lagi nipis dari sebuah novel boleh menerbitkan pelbagai buku-buku yang tebalnya berkali ganda daripada al-Quran. Sedangkan al-Quran hanya wujud dalam bentuk mushaf pada zaman saidina usman r.a. Betapa fikrah al-quran yang agung itu boleh melahirkan pemikir-pemikir islam yang mantap dan ilmu yang banyak. Hal ini mencerminkan bahawa fikrah itu sangat penting kerana ia juga mampu menghasilkan ilmu baru.

Method mempelajari ilmu sahaja adalah berlainan dengan cara untuk memperlajari ilmu bersama fikrahnya sekali. Sekiranya method untuk mempelajari itu sudah berbeza, maka hasil yang terbentuk juga adalah berbeza. Kita singkap sejarah 1430 tahun dahulu, ketika Nabi Muhammad saw masih berada di samping umat islam. Adakah kitab-kitab ilmu seperti al-umm, al-muatta’ dan lain-lain itu telah wujud. Kitab-kitab ini belum wujud. Bahkan al-Quran itu sendiri pun belum ada dalam bentuk mushaf yang kita dapat lihat pada hari ini. Namun, generasi islam yang pertama inilah yang akhirnya membuka semula kota Mekah dan membebaskannya daripada jahiliyah. Maka daripada hari itu, bermulalah episod perkembangan ilmu dan fikrah islam. Persoalannya, bagaimanakah generasi awal islam ini boleh menjadi umat yang hebat sedangkan pada zaman mereka kitab-kitab ilmu adalah sangat mustahil untuk dijumpai? Yang ada hanyalah alquran dan nabi Muhamad saw yang belum wujud dalam bentuk kitab. Maka tidak keterlaluan sekiranya kita katakan bahawa fikrah yang Rasulullah terapkan dalam kalangan generasi awal ini adalah sangat mantap. Lalu fikrah inilah yang membawa Islam ke zaman keeemasannya satu ketika dahulu. Lihat, betapa pentingnya fikrah yang perlu kita ada.

Ilmu dan fikrah bukanlah dua perkara yang berbeza. Mereka adalah satu perkara yang sama dan datang dalam pakej yang sama kepada individu yang menuntutnya. Namun, cara penyampaian dan cara penerimaan si pengajar dan si penerima itulah yang menentukan ilmu itu hanya akan menjadi ilmu, ataupun ilmu itu datang bersama pakej fikrahnya.namun perlu ditekankan, fikrah itu hanya datang sekiranya kita menuntut ilmu.

Sebagai konklusinya, dapatlah disimpulkan disini bahawa antara faktor yang melumpuhkan kekuatan umat islam pada abad ke-20 adalah kerana kurangnya penghayatan fikrah. Mereka sekadar mengambil ilmu untuk semata-mata tahu tanpa mengekstrak fikrah yang wujud dalam ilmu-ilmu tersebut. Oleh itu, fikrah sangat penting ketika menuntut ilmu, agar ilmu tersebut dapat diterjemah dalam bentuk kefahaman, perbuatan dan perubahan yang lebih positif.

Wallahualam.

-Jakarta, Indonesia. 2008.

Advertisements
Categories: Fikrah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: